Saturday, January 5, 2013

Penjawat awam beri komitmen penuh jayakan dasar kerajaan

SEMPORNA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa penjawat awam di peringkat persekutuan dan negeri supaya memberi komitmen penuh bagi melaksanakan segala dasar dan inisiatif kerajaan.

Shafie berkata, komitmen seumpama itu amat penting bagi memastikan negara terus membangun dan berdaya saing selari dengan kemajuan global demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
"Sumbangan penjawat awam di semua peringkat perlu untuk jayakan dasar-dasar kerajaan. Kalau sistem penyampaian kerajaan terbantut, rakyat tidak akan dapat merasai nikmat daripada program pembangunan kerajaan," katanya.


Shafie yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika berucap sempena majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Pelajar Ulung Kolej Risda Daerah Semporna di sini, malam tadi.

Shafie berkata, kegagalan penjawat awam bagi meningkatkan dan memperbaiki sistem penyampaian mereka juga boleh menggagalkan usaha Malaysia menempatkan dirinya sebagai antara negara yang berdaya saing di peringkat antarabangsa seperti negara-negara maju yang lain.

Katanya, pelbagai dasar di bawah Transformasi Kerajaan dan inisiatif ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentransformasikan negara amat jelas matlamatnya namun ia memerlukan sokongan penjawat awam untuk merealisasikannya.

Sambil memuji prestasi sumbangan penjawat awam dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan pada tahun 2012 seperti kejayaan pelaksanaan Strategi Lautan Biru di seluruh negara, Shafie meminta supaya komitmen berkenaan diteruskan dan dipertingkatkan.
Pada majlis berkenaan, Shafie turut menyampaikan sijil kemahiran kejuruteraan sistem komputer kepada 25 lulusan pertama Kolej Risda Semporna dan menyerahkan surat tawaran melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan kepada 60 pelajar baru. - BERNAMA

Tuesday, January 1, 2013

CUEPACS MAHU KERAJAAN UMUM JADUAL GAJI SECEPAT MUNGKIN




Bernama
30/12/2012


KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Cuepacs Sabtu mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Setiausaha Agung kongres itu Loke Yim Pheng berkata dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.

"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.

Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.

"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.

-- BERNAMA

PROSES PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM MESTI BERTERUSAN, TIDAK STATIK - ALI HAMSA

Bernama
Daripada Ahmad Shukran Shaharudin
30/11/2012



MADINAH, 30 Nov (Bernama) -- Malaysia Juamaat memberitahu satu forum antarabangsa di sini bahawa penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam seharusnya menjadi proses berterusan tanpa henti, walaupun selepas sasaran kemajuanya tercapai.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata penjawat awam perlu memikirkan kemajuan seterusnya yang boleh mereka lakukan bukannya mengekalkan semua yang mungkin dibuat bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Mereka (pegawai penjawat awam) perlu berfikir di luar daripada kotak tentang perkara yang akan mereka lakukan seterusnya untuk bergerak ke hadapan dan bukannya mengatakan bahawa mereka telah melakukan segala yang mungkin," katanya pada forum ketika berkongsi pengalaman Malaysia pada sesi bertemu pemimpin e-kerajaan di Madinah yang hadiri, kira-kira 100 orang, di sini.

Ali berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk 'The Malaysian Public-Private Partnership (PPP) Experience - Live Case on a Successful Malaysian PPP Model' pada forum anjuran Institut Madinah bagi Kepimpinan dan Keusahawanan (MILE).

Memberi contoh proses untuk memperoleh pasport Malaysia, beliau berkata Jabatan Imigresen boleh memproses permohonan tersebut dan menyerahkan pasport kepada pemohon dalam tempoh sejam berbanding, beberapa bulan sebelum ini.

"Dalam kes ini, selepas ini mungkin, pasport tamat tempoh boleh diperbaharui dengan mudah dan dihantar ke rumah, keesokan harinya," katanya.

Ali juga memberitahu para peserta bahawa perkongsian awam-swasta terbukti penting dalam banyak aspek pembangunan negara, selaras dengan wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju, menjelang 2020.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MILE Dr Mohamed Moustafa Mahmoud berkata kerajaan hari ini mencari platform yang kukuh untuk mencipta semula dirinya dan digalak untuk mengubah daripada paradigma birokrasi tradisi.

"Tempat ini menekankan pemiawaian, penjabatan dan kecekapan kos operasi," katanya sambil menambah bahawa paradigma e-kerajaan memberi tumpuan kepada kerjasama pembangunan rangkaian yang diselaras, kerjasama luaran dan perkhidamtan pelanggan.

Dr Mohamed berkata minat yang semakin meningkat dalam e-kerajaan meletakkan tuntutan tentang bagaimana kerajaan boleh meningkatkan penerimaan dan penggunaan perkhidmatan kerajaan oleh rakyat.

"E-kerajaan menjadi penting, berikutan potensinya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan perkhidmatan, berbanding kaedah alternatif tradisional (daripada perkhidmatan)," katanya.



-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM BAKAL DAPAT 'PERLINDUNGAN'

Utusan Malaysia
27/12/2012

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal mendapat perlindungan sebaik-baiknya jika cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam yang dikemukakan Suruhanjaya Khas bagi Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam diterima kerajaan.Pengerusi suruhanjaya khas itu, Tun Zaki Azmi berkata, penambahbaikan itu meliputi 19 cadangan yang akan dikemukakan kepada Kabinet selewat-lewatnya Januari ini.Jelas beliau, antara bentuk perlindungan itu adalah isu kenaikan gaji penjawat awam yang dibincangkan bersama enam anggota suruhanjaya tersebut.
"Kajian ini juga menentukan kakitangan awam akan dapat perlindungan daripada kerajaan, namun terpulang kepada kerajaan menerima atau tidak cadangan ini."Walau bagaimanapun, isu kenaikan gaji bukan perkara utama, tetapi fokus kita adalah menambah baik sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Pada Jun lalu, kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.
Suruhanjaya tersebut diberi mandat mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan dan perakuan itu akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.Dalam pada itu, Zaki berkata, suruhanjaya yang turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman tersebut telah selesai membuat perbincangan bagi tujuan itu.
Jelas beliau, laporan kajian tersebut akan memberikan situasi menang-menang antara penjawat awam dan rakyat keseluruhannya."Laporan kajian ini hampir 100 peratus siap dan kita masih menerima cadangan daripada mana-mana pihak jika mahu berbuat demikian."Apa yang penting kita mahu memperbaiki mutu sistem penyampaian dan jika rakyat sudah boleh menerima, rakyat pun tidak akan marah kalau mahu naik gaji," katanya.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM

Utusan Malaysia
3/12/2012

SAYA sebagai seorang penjawat awam ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk penambahbaikan kepada perkhidmatan awam demi kebaikan para penjawat awam. Saya mohon supaya cadangan ini diambil perhatian oleh Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), JPA dan CUEPACS.Pada masa sekarang bayaran Ganjaran Wang Tunai atau Golden Hand Shake (GHS) hanya diambil kira selama 150 hari sahaja. Saya cadangkan supaya kiraan GHS tiada had sebab ramai pegawai yang mempunyai banyak cuti tetapi terpaksa dilupuskan sahaja kerana tidak boleh ambil cuti kerana kepentingan perkhidmatan. Demi keadilan saya berharap pihak-pihak berkuasa mengambil serius perkara ini.
Buat masa sekarang had tempoh perkhidmatan untuk perkiraan pencen ialah 30 tahun. Saya ingin mencadangkan supaya tempoh perkiraan pencen tiada had iaitu diambil kira tempoh PERKHIDMATAN SEBENAR. Ini kerana ada kakitangan kerajaan yang berkhidmat sehingga 35 tahun dan ada yang lebih daripada itu. Adalah tidak adil kepada kakitangan yang telah berkhidmat lama tetapi tidak diambil kira perkhidmatannya.Ramai pegawai awam yang memiliki ijazah Sarjana tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat kerana peluang kenaikan pangkat yang terhad. Saya cadangkan supaya diberi imbuhan khas bulanan kepada mereka ini sebagai menghargai pengorbanan dan penat lelah mereka menyambung pelajaran, meninggalkan anak dan isteri, membelanjakan banyak wang ringgit sendiri dan lain-lain lagi.
Pada masa sekarang ada beberapa skim perkhidmatan yang dibayar Elaun Kritikal. Agak pelik kerana Kumpulan Sokongan diberi elaun 10 peratus daripada gaji manakala untuk Kumpulan Pengurusan & Profesional diberi 5 peratus. Ini agak kurang adil kerana pegawai Kumpulan Sokongan yang bergred 32, 36 atau 38 akan mendapat elaun yang lebih berbanding pegawai yang bergred 41, 44 dan 48 disebabkan gaji mereka sudah tinggi. Adalah tidak logik apabila ' anak buah ' mendapat elaun kritikal lebih banyak daripada ' boss '.

© Utusan Melayu (M) Bhd

CUEPACS MAHU KETUA JABATAN PANTAU PERMOHONAN CUTI SAKIT

Bernama
15/12/2012

KANGAR, 14 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu ketua jabatan peka terhadap permohonan cuti sakit penjawat awam bagi memastikan mereka tidak menyalah guna kemudahan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ada petugas yang sihat terpaksa memohon cuti sakit untuk sesuatu urusan kerana mereka sudah kehabisan cuti tahunan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pemantapan Gred Kuasa-Kuasa Tempatan dan Badan-Badan Berkanun 2012 peringkat kebangsaan di Kuala Perlis Jumaat, beliau berkata amalan menipu cuti sakit merugikan perkhidmatan awam.

"Jika ada bukti penyalahgunaan cuti sakit, mereka yang terbabit iaitu penjawat awam atau pegawai perubatan yang mengeluarkan surat cuti sakit boleh dikenakan tindakan," katanya.

Mengulas pelaksanaan usia persaraan sehingga 60 tahun, Omar berkata Cuepacs telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka boleh berkhidmat dengan sempurna.



-- BERNAMA

PENGAMBILAN PENJAWAT AWAM DIJANGKA KURANG TAHUN DEPAN - PENGERUSI SPA

Bernama
8/12/2012

PUTRAJAYA, Dis 8 (Bernama) - Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan pada tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam pada Sabtu.

Secara purata, beliau berkata SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.

"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang.

"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini.

Mahmood berkata seminar yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran skil pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam.

-- BERNAMA