Tuesday, March 29, 2011

PENJAWAT AWAM DINASIHAT TIDAK GHAIRAH MOHON PINJAMAN


MELAKA 16 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kakitangan awam supaya tidak ghairah membuat pinjaman khususnya yang mudah ditawarkan oleh koperasi dan institusi kewangan bagi mengelak terjebak dalam senarai muflis.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, jumlah penjawat awam yang disenarai muflis pada tahun lalu iaitu kira-kira 2,000 orang adalah amat membimbangkan.

''Jadi, sekiranya tidak terdesak, mereka ini dinasihatkan jangan terlalu mudah membuat pinjaman sehingga boleh bankrap.

''Penjawat awam amat mudah ditawarkan pelbagai pinjaman dan senang menjadi penjamin kepada peminjam lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Alternatif Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) anjuran CUEPACS Bahagian Negeri di sini hari ini.

Seramai 120 kakitangan awam di negeri ini menyertai seminar tersebut yang turut dihadiri Pengerusi CUEPACS Bahagian Negeri Melaka, Md. Salleh Majid.

Omar menegaskan, kakitangan awam perlu lebih berhati-hati dan mengambil kira pendapatan mereka sebelum membuat keputusan memohon pinjaman atau menjadi penjamin.

Pada 2009, katanya, seramai 1,089 penjawat awam yang bergaji sederhana diisytihar muflis dan 72 peratus daripadanya ialah lelaki.

''Kita bimbang masalah seperti ini akan mengganggu prestasi pekerjaan mereka," katanya.

Sementara itu, katanya, CUEPACS akan mengumpul data maklumat melakukan penambahbaikan di setiap bahagian negeri sebelum dibawa ke peringkat kongres kebangsaan 2 April ini.

''Kita sedang mengemas kini setiap cadangan untuk dibawakan ke pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Antara yang diperhalusi adalah penyelarasan gaji untuk kakitangan berpendapatan sederhana bagi mengimbangi kenaikan harga pelbagai barangan ketika ini," katanya.

Selain itu kata Omar, aspek lain yang turut dipertimbangkan adalah semakan semula gred dan tangga gaji kakitangan kerajaan agar disesuaikan mengikut pangkat dan kelayakan semasa kakitangan.

CUEPACS MINTA KERAJAAN SELARAS GAJI DENGAN KENAIKAN HARGA BARANG

MELAKA, 15 Mac — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.

“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.

“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.

“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.

Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.

“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.

Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.

“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.

Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.

“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.

Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.

“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya. — Bernama