Tuesday, January 1, 2013

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM

Utusan Malaysia
3/12/2012

SAYA sebagai seorang penjawat awam ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk penambahbaikan kepada perkhidmatan awam demi kebaikan para penjawat awam. Saya mohon supaya cadangan ini diambil perhatian oleh Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), JPA dan CUEPACS.Pada masa sekarang bayaran Ganjaran Wang Tunai atau Golden Hand Shake (GHS) hanya diambil kira selama 150 hari sahaja. Saya cadangkan supaya kiraan GHS tiada had sebab ramai pegawai yang mempunyai banyak cuti tetapi terpaksa dilupuskan sahaja kerana tidak boleh ambil cuti kerana kepentingan perkhidmatan. Demi keadilan saya berharap pihak-pihak berkuasa mengambil serius perkara ini.
Buat masa sekarang had tempoh perkhidmatan untuk perkiraan pencen ialah 30 tahun. Saya ingin mencadangkan supaya tempoh perkiraan pencen tiada had iaitu diambil kira tempoh PERKHIDMATAN SEBENAR. Ini kerana ada kakitangan kerajaan yang berkhidmat sehingga 35 tahun dan ada yang lebih daripada itu. Adalah tidak adil kepada kakitangan yang telah berkhidmat lama tetapi tidak diambil kira perkhidmatannya.Ramai pegawai awam yang memiliki ijazah Sarjana tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat kerana peluang kenaikan pangkat yang terhad. Saya cadangkan supaya diberi imbuhan khas bulanan kepada mereka ini sebagai menghargai pengorbanan dan penat lelah mereka menyambung pelajaran, meninggalkan anak dan isteri, membelanjakan banyak wang ringgit sendiri dan lain-lain lagi.
Pada masa sekarang ada beberapa skim perkhidmatan yang dibayar Elaun Kritikal. Agak pelik kerana Kumpulan Sokongan diberi elaun 10 peratus daripada gaji manakala untuk Kumpulan Pengurusan & Profesional diberi 5 peratus. Ini agak kurang adil kerana pegawai Kumpulan Sokongan yang bergred 32, 36 atau 38 akan mendapat elaun yang lebih berbanding pegawai yang bergred 41, 44 dan 48 disebabkan gaji mereka sudah tinggi. Adalah tidak logik apabila ' anak buah ' mendapat elaun kritikal lebih banyak daripada ' boss '.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment