Saturday, March 20, 2010

Empat Tiang Utama - PM

Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Inovasi. Mahu tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak.Saya tidak mahu budaya "automation" menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikantanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif daninovatif di luar kelaziman.

Kedua : Mementingkan Kepantasan bertindak dan membuat keputusan. Janganlah kita melengahkan apa yang mampu kita laksanakan hari ini kepada hari esok atau lusa. Mengambil petua orang tua-tua, kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan. Dalam konteks ini janganlah kita lambatkan apa yang kita boleh selesaikan saat ini kepada detik, minit, jam, hari, minggu, bulan mahupun tahun yang berikutnya. Sememangnya kepantasan bertindak dan membuat keputusan akan menyebabkan keyakinan rakyat bertambah kepada kerajaan.
Kerajaan perlu dilihat pantas mengotakan janji. Contoh terbaik adalah, apabila saya mengumumkan Klinik 1Malaysia dalam ucapan bajet tahun lalu, lebih kurang dua bulan kemudian ia sudah menjadi realiti. Begitulah juga imbuhan tetap bulanan kepada Johan Qari dan Qariah Tilawah Antarabangsa, telah kita tunaikan tidak sampai 3 minggu setelah diumumkan.
Kepantasan bertindak dan membuat keputusan seperti ini akan juga meningkatkan "velocity of money" atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara. Keputusan cepat, pantas dan tanpa bertangguh perlu dibuat terutamanya yang melibatkan kelulusan urus niaga, pemberian lesen, development order, tender, kontrak, sebut harga, pembayaran kerja dan lain-lain perkara yang melibatkan implikasi kewangan kerana ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara seterusnya menambah kekayaan nasional. Hal ini tidak lain tidak bukan, pada analisa akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat. Jelas sekali, budaya melambat-lambatkan sesuatu keputusan akan hanya merugikan rakyat dan negara.

Ketiga : Nilai untuk Wang atau "Value for money". Dalam aspek ini, pembaziran, penyelewengan dan gejala salah urus hendaklah dihapuskan daripada pengurusan kewangan awam. Sesungguhnya, setiap ringgit dan sen perbelanjaan hendaklah mendapat pulangan nilai paling maksima kepada kerajaan dan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan perlu berhemah dalam perbelanjaannya. Untuk mencapai matlamat nilai untuk wang, maka kaedah pengurusan nilai atau "value management" perlulah diterapkan dalam semua pengurusan projek-projek kerajaan
bermula dari peringkat awal lagi. Pengurusan nilai perlu menjadi wahana yakni alat pengurusan atau "management tool" untuk mencapai nilai untuk wang. Dengan kaedah 11
ini diharapkan dapat mengubah cara kita merancang dan melihat sesuatu projek. Kita perlu menyoal assumption atau andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan. Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian. Kita perlu mengambil kira "total life cycle cost" atau kos keseluruhan kitar hayat sesuatu projek. Sekiranya kita tidak mengambil kira kos-kos yang tersembunyi termasuk kos penyelenggaraan, maka, ia mungkin mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan kewangan kerajaan kemudian hari nanti. Sehubungan itu, sukacita saya mengesyorkan bahawa ganjaran istimewa akan diberikan kepada mana-mana pegawai atau kumpulan pegawai yang berjaya mendatangkan penjimatan yang besar kepada pihak kerajaan. Pendek kata, kita mahu para penjawat awam sentiasa mencari kaedah pelaksanaan yang berkesan dan efektif melibatkan penjimatan. Ertinya dengan jumlah kos yang sama tetapi kita berupaya mendapat kualiti yang lebih baik.

Keempat : Nilai Integriti. Sememangnya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Fokus terpenting bagi pembangunan sedemikian ialah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Ringkasnya, tanpa integriti maka segalanya tidak akan bermakna. Sesungguhnya, penjawat awam adalah khadam pemelihara kepentingan awam atau "Custodian of the public interest". Jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian tidak memiliki integriti maka kepercayaan dan keyakinan rakyat akan hilang. Kata pepatah lama, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Kita boleh mencari kuasa, kekayaan, kedudukan dan ilmu pengetahuan tetapi tanpa integriti kita tidak akan mempunyai nama yang baik sedangkan nama yang baik amatlah mustahak. Inilah yang akan dikenang oleh rakyat dan dicatat dalam sejarah.

No comments:

Post a Comment