Saturday, August 14, 2010

"ANDA MAMPU MENGUBAHNYA" -JANGAN PONTENG KERJA

Utusan Malaysia
2/8/2010



PUTRAJAYA 31 Julai - Awas! penjawat awam yang cuba 'curi tulang' dengan menghabiskan masa di kafetaria atau pusat membeli-belah pada waktu pejabat di sini.

Ini kerana gelagat anda akan dirakamkan menerusi kamera kompak oleh anggota dua skuad pemantau dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Skuad yang ditubuhkan itu akan berkeliaran di lokasi-lokasi yang dikenal pasti antaranya Taman Warisan Pertanian dan Alamanda untuk merakam perbuatan seumpama itu.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan di JPA, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya memberitahu, pemantauan itu dilakukan ekoran aduan orang ramai terhadap sikap segelintir pegawai awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di pusat membeli-belah semasa tempoh tersebut.

Waktu rehat bagi sektor awam adalah antara 1 hingga 2 petang sahaja tetapi kelonggaran diberikan kepada penjawat awam yang mempunyai urusan rasmi pada waktu itu.

''Pegawai awam yang ditangkap semasa operasi dilaksanakan akan diambil maklumat peribadi mereka dan dipanjangkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk diambil tindakan sewajarnya.

''Ketidakpatuhan waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah-Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974.

''Juga, menyalahi Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Tatakelakuan Pegawai Awam di bawah Peraturan 4," katanya dalam surat Edaran JPA 2020 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, susulan dari tindakan itu, ketua jabatan diminta menguatkuasakan peraturan mengenai pematuhan waktu masuk bekerja pada sebelah pagi dan tengah hari.

''Mereka juga perlu membuat pemantauan secara berterusan di kantin, kafeteria dan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pegawai di bawah seliaan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Korporat JPA, Nik Noraini Nik Ya berkata, meskipun waktu anjal bekerja diperuntukkan kepada penjawat awam namun ia bukan faktor atau alasan untuk duduk minum di kafetaria semasa waktu pejabat.

''Kita ada tiga waktu anjal bekerja iaitu antara 7.30 pagi hingga 4.30 petang, 8 pagi - 5 petang dan 8.30 pagi - 5.30 petang namun kakitangan tidak boleh sewenang-wenang keluar untuk sarapan pada pukul 9 pagi walaupun anda masuk 7.30 pagi.

''Bagaimanapun di sini, pengecualian tertentu bergantung kepada situasi misalnya jika penjawat awam itu dari kalangan guru. Dengan masa bekerjanya antara 7 pagi hingga 1 petang, takkan skuad berkenaan mahu menahannya atas kesalahan itu jika ternampak dia di Alamanda sekitar pukul 3 petang," katanya.

1 comment:

  1. siape yang banyak curi tulang

    KP ,TKP ,PENGARAH ,TIMBALAN PENGARAH, PRD,RO KERANI, TAIPIS, PAR , PEMANDU, PRA

    ReplyDelete