Saturday, August 14, 2010

APAKAH WAJAR CUTI BERSALIN 90 HARI

Berita Harian
2/8/2010




PEKELILING Perkhidmatan Awam Bilangan Dua, 1998 memperuntukkan cuti bersalin 60 hari kepada semua penjawat awam di Malaysia. Kemudahan ini seterusnya dilaksanakan oleh kebanyakan sektor swasta apabila peruntukan ini dikuatkuasakan mengikut Akta Kerja 1955.

Peruntukan ini dikira sebagai hak kepada wanita dan bukanlah satu keuntungan yang perlu dipertikaikan. Terkini, selepas Kelantan dan Selangor melanjutkan cuti bersalin kepada 90 hari, rakyat terus mendesak supaya pelaksanaan itu diperluas kepada semua sektor di Malaysia. Wajarkah perlanjutan cuti bersalin ini dilaksanakan?Sebagai pandangan individu, proses mengandung dan bersalin bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh diambil kira sebagai satu perkara remeh. Mengandung selama kira-kira sembilan bulan 10 hari, membentuk wanita kepada pelbagai perubahan, bukan saja dari aspek fizikal dan biologi, malah spiritual, emosional dan psikologi.Justeru, diperuntukkan 60 hari cuti kepada wanita bagi proses pemulihan selepas bersalin. Namun, dari segi kepercayaan tradisi bagi seorang wanita yang benar-benar pulih adalah selama 100 hari dan 90 hari dikira hampir dan wajar diberikan sekiranya pengiraan ini hanya dibuat berdasarkan justifikasi berkenaan.

Tetapi adakah dengan perlanjutan kepada 90 hari masalah wanita selepas melahirkan anak akan selesai?
Tidak sama sekali. Wanita tetap perlu melihat kepada kesan lain selepas cuti bersalin tamat.

Antara faktor yang perlu diambil kira selepas bulan madu tamat termasuk pengurusan penjagaan bagi bayi yang dilahirkan sama ada dihantar kepada penjaga di pusat asuhan atau pusat jagaan yang berdekatan atau perlu diupah pengasuh atau pembantu rumah.
Malah kemudahan bilik penyusuan, waktu kerja anjal dan pelbagai faktor lain perlu diambil kira. Selepas tamat tempoh bersalin, tidak kira sama ada 90 atau 100 hari, wanita tetap mengambil masa senggang untuk membawa bayi untuk imunisasi, cuti sakit (MC) apabila bayi demam, selesema dan lain-lain penyakit yang menyebabkan kepentingan perlanjutan cuti bersalin ini perlu dipertimbangkan.

Perkara ini seterusnya mendatangkan kesan kepada pelbagai pihak khususnya sektor swasta untuk mengelak pembayaran gaji kepada wanita sekiranya tempoh cuti bersalin dilanjutkan kepada 90 hari. Akibatnya kepakaran wanita tidak digunakan sepenuhnya dalam organisasi dan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh berkurangan secara berterusan.

Justeru, pihak kerajaan perlu menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk memastikan wanita yang berkemahiran dan mempunyai daya saing tinggi ini dapat terus menyumbang ke arah pembangunan negara.

Setakat dilanjutkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari tidak menjanjikan peningkatan kepada produktiviti negara sekiranya sistem sokongan yang lengkap tidak disediakan sepenuhnya. Faktor waktu anjal kepada wanita perlu diambil kira.

Kepada wanita, peganglah amanah, tanggungjawab serta kepercayaan majikan sewajarnya supaya peranan kita tidak diperlekehkan dan diambil mudah seterusnya melihat kita sebagai khalifah bermaruah.

IBU BEKERJAYA,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment