Tuesday, March 12, 2013

BADAN BERKANUN PERLU DITRANSFOPRMASI DEMI KEBAJIKAN ANGGOTANYA - CUEPACS

Bernama
7/3/2013

SHAH ALAM, 6 Mac (Bernama) -- Suatu bentuk transformasi perlu dilakukan terhadap badan berkanun bagi menjamin kebajikan anggota dan pegawainya, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diteliti semula ialah sistem kenaikan pangkat dan perjawatan dalam badan berkanun dari kumpulan pelaksana hingga ketua jabatan.

"Ada di antara ketua pengarah (badan berkanun) yang memegang gred jawatan Jusa C, ada yang 54 dan mereka memegang gred jawatan mereka itu terlalu lama," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pertama Anggota Badan Berkanun 'Transformasi dan Revolusi' yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini.

Oleh itu, katanya gred jawatan tertinggi bagi ketua pengarah badan berkanun ini perlu diseragamkan.

Selain itu beliau berkata pesara daripada badan berkanun tidak memiliki kad pencen sebagaimana rakan penjawat awam daripada jabatan kerajaan.

"Pesara badan berkanun menghadapi masalah apabila ingin mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana mereka perlu membayar dahulu rawatan disebabkan mereka tidak memiliki kad pencen.

"Berlaku juga ketidakseragaman di antara badan berkanun terutamanya dalam pembayaran bonus kerana ada yang mampu membayar empat bulan manakala ada yang tidak mampu membayar satu setengah bulan sehingga terpaksa memotong peruntukan lain untuk membayar bonus," katanya.

Beliau juga berkata perlu ada jaminan kepada anggota dan pegawai badan berkanun sekiranya organisasi mereka diswastakan kerana kemampuan menjana pendapatan sendiri.

Lazimnya apabila organisasi mereka diswastakan mereka hanya diberikan pilihan sama ada kekal bekerja dengan agensi itu sebagaimana sektor swasta atau berhenti bekerja, katanya.

Omar berkata dari segi pentadbiran pula tidak ada keseragaman dalam pelaksanaan arahan kerajaan menerusi surat pekeliling kerana ia diputuskan lembaga pengarah organisasi masing-masing.

Oleh itu beliau berkata persidangan yang berakhir esok akan menyediakan kerangka cadangan bagi mewujudkan akta khusus badan berkanun yang menyentuh aspek perjawatan, persaraan, penswastaan dan prosedur operasi.

No comments:

Post a Comment