11/3/2013
PUTRAJAYA 11
Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan
sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan
Transformatif (SST).
Pelaksanaan
SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang
sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara
perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan
semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum
diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali
berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perdana Menteri
berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat
awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati
kenaikan gaji tahunan.
Kerajaan juga,
kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah
pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.
"Ini bermakna
setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan
perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena
Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Hadir sama,
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha
Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan
Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk
Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.
MPPA XIII yang
bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020'
dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.
Menurut Perdana
Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai
kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi,
sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu,
beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1
hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian
Menengah Rendah (PMR).
Menurut beliau,
perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan
peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.
Perdana Menteri
berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan
berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang
akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.
"Kerajaan juga
secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat
iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar
Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.
Menurut Najib,
sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak
dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim
perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan
pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
Dalam ucapannya
itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka
kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru
perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara
langsung.
"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.
"Justeru
penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat
bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran
tidak dikompromi keabsahannya," katanya.
Perdana Menteri
turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi
memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan
perkhidmatan awam tidak berlaku.
Katanya, setiap
tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan,
diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik.
No comments:
Post a Comment