Thursday, April 28, 2011

PENAMBAH BAIKKAN SKIM FAEDAH PERSARAAN (1968-2009)


1 Ogos 1968

Pelaksanaan skim faedah persaraan yang diperakui oleh Suruhanjaya DiRaja Suffian untuk pegawai Perkhidmatan Awam. Pemberian ganjaran ( dan ganjaran terbitan untuk balu dan anak gemulah pegawai ) sebagai faedah tambahan dan asingan daripada pencen / pencen terbitan. Pemberian pencen terbitan untuk tempoh 12 ½ tahun daripada tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan pegawai.

1 Mei 1969

Pelaksanaan skim faedah persaraan yang diperakui oleh Suruhanjaya DiRaja Harun untuk pekerja Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan yang mencontohi skim pegawai Perkhidmatan Awam.

1 Januari 1974

Pemberian Wang tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat ( GCR ) atas kadar 1/30 gaji akhir bagi setiap hari Cuti Rehat yang luput (iaitu Cuti Rehat yang tidak terpakai pada penghujung tahun melebihi kelayakan setahun ) sehingga maksimum 90 hari.

1 Januari 1976

Pemberian pencen terbitan seumur hidup (100% dari pada kadar asal selama 12 ½ tahun daripada tarikh persaraan atau tarikh kematian dalam perkhidmatan, dan 70 % selepas itu).

1 Januari 1976

Anak diberi pencen sehingga umur 21 tahun atau sehingga tamat atau berhenti mendapat didikan di institusi pelajaran tinggi ke arah ijazah pertama, mana yang terkemudian, selagi tidak berkahwin.

1 Januari 1976

Dilaksanakan persaraan demi kepentingan perkhidmatan awam dan persaraan setelah dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan (persaraan penswastaan / pengkoporatan).

1 Julai 1980

Penyelarasan pencen setiap kali berlaku pelarasan gaji sektor awam, dengan syarat pesara atau penerima pencen bermastautin di Malaysia.

1 Julai 1980

Pencen terbitan diberi kepada duda sekiranya gemulah isterinya pernah berada dalam perkhidmatan pada dan selepas 1 Julai 1980.

1 Julai 1980

Pencen hilangupaya dan pencen tanggungan diberi dalam keadaan pegawai dikehendaki bersara atau beliau meninggal dunia akibat kemalangan dalam perjalanan.

22 Oktober 1982

Ganjaran dikecualikan daripada cukai pendapatan (bagi semua kes persaraan yang diluluskan pada atau selepas 22 Oktober 1982).

1 Januari 1984

Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) atas kadar 1/30 gaji akhir bagi setiap hari Cuti Rehat yang dikumpulkan (iaitu Cuti Rehat yang tidak terpakai pada penghujung tahun, selepas diasingkan pengumpulan untuk GCR daripada Cuti Rehat bawa ke tahun hadapan) sehingga maksimum 90 hari.

12 April 1991

Tempoh perkhidmatan yang dimasukira yang melayakkan pemberian taraf anggota berpencen dikurangkan daripada 10 tahun kepada 3 tahun.

12 April 1991

Anggota baru dilantik diberi opsyen untuk memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

12 April 1991

Umur minimum untuk bersara secara pilihan dikurangkan kepada 40 tahun untuk semua anggota; dengan pemberian pencen mulai umur 45 (perempuan & lelaki dalam jawatan tertentu) / 50 (lelaki) atau 55/56 (semua anggota yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991, mengikut opsyen umur persaraan wajib 55/56.

1 Januari 1992

Opsyen bagi pekerja Pihak Berkuasa Berkanun & Tempatan untuk memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (dengan caruman KWSP oleh majikan secara kebelakangan) apabila memilih untuk diasingkan sistem saraannya daripada Sistem Saraan Kerajaan (SSB / SSM).

1 Januari 1992

Pengambilan kira perkhidmatan lepas terputus atas sebab sebab yang diizinkan yang diselangi deengan perkhidmatan di sektor swasta sebelum berkhidmat semula dengan Kerajaan.

1 Januari 1992

Wang Tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat dikecualikan daripada cukai pendapatan (bagi tahun taksiran 1993 dan seterusnya).

1 Ogos 1993

Wang Tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat dikira berasaskan jumlah emolumen terakhir (iaitu gaji pokok + imbuhan tetap).

1 Januari 1995

Faktor pengiraan ganjaran dinaikkan daripada 5% kepada 7.5% gaji akhir bagi setiap bulan genap perkhidmatan.

1 Disember 1997

Opsyen bagi pekerja Pihak Berkuasa Berkanun & Tempatan untuk memilih Skim Pencen Dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja apabila memilih untuk diasingkan system saraannya daripada Sistem Saraan Kerajaan (SSB / SSM), tanpa caruman majikan kepada KWSP secara kebelakangan tetapi dengan diberi faedah persaraan untuk tempoh perkhidmatan sebelum pengasingan itu.

1 Oktober 2001

Umur persaraan wajib anggota dinaikkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun.

1 Oktober 2001

Pencen terendah dinaikkan daripada RM180 kepada RM280 dengan tempoh perkhidmatan 25 tahun ke atas.

1 Januari 2002

Pemberian pencen terbitan kepada balu duda yang berkahwin semula.

1 Ogos 2003

Maksimum Cuti Rehat yang boleh dikumpulkan untuk pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat dinaikkan daripada 90 hari kepada 120 hari, dengan dilbolehkan tambahan pengumpulan Cuti Rehat tahun persaraan sehingga maksimum kelayakan Cuti Rehat tahunan.

1 November 2004

Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Cuti Rehat kepada anggota yang memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

1 Januari 2008

Syarat bermastautin di Malaysia di bawah undang- undang pencen telah dihapuskan.

1 Julai 2008

Umur persaraan wajib dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun.

1 Januari 2009

Menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan 30 tahun ke atas dan pencen terhad kepada 3/5 gaji akhir.

1 Januari 2009

Pencen terbitan dibayar 100% kepada ahli keluarga gemulah seumur hidup

1 Januari 2009

Pencen terendah dinaikkan daripada RM280 kepada RM720 dengan tempoh perkhidmatan 25 tahun ke atas

1 Januari 2009

Ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian ex-gratia sekali gus dan bukan pencen terbitan.

No comments:

Post a Comment